← Semua artikel Pendidikan Khas

Tanda-tanda disleksia pada anak: bukan malas, tapi cara otak memproses huruf

Signs of dyslexia in children: not lazy, just a different way of processing letters

Disleksia ialah kesukaran pembelajaran yang menjejaskan kebolehan membaca, mengeja dan menulis. Ia tiada kaitan dengan tahap kecerdasan. Ramai anak disleksia pintar, kreatif dan pandai bercakap, tetapi otak mereka memproses bunyi dan huruf dengan cara yang berbeza.

Kerana itu, anak disleksia sering dilabel "malas" atau "tak fokus", sedangkan mereka sebenarnya sudah berusaha keras.

Tanda pada umur prasekolah (4 hingga 6 tahun)

  • Susah mengingat nama dan bunyi huruf walaupun selalu diulang.
  • Susah mengenal perkataan yang berima, contohnya batu dan ratu.
  • Selalu tersalah sebut perkataan panjang.
  • Susah mengingat urutan, seperti hari dalam seminggu atau abjad.

Tanda pada umur sekolah rendah

  • Membaca sangat perlahan dan tersekat-sekat berbanding rakan sekelas.
  • Terbalikkan huruf atau nombor seperti b/d, p/q, 6/9 selepas umur 7 tahun.
  • Ejaan tidak konsisten. Perkataan sama dieja berbeza dalam satu muka surat.
  • Meneka perkataan berdasarkan huruf pertama atau gambar.
  • Faham apabila dibacakan, tetapi tidak faham apabila membaca sendiri.
  • Mengelak membaca kuat atau mengadu sakit perut sebelum kelas Bahasa.
  • Tulisan tangan tidak kemas dan lambat menyalin dari papan putih.

Salah faham yang biasa

  • "Nanti besar dia pandailah." Disleksia tidak hilang dengan sendirinya, tetapi anak boleh belajar cara untuk mengatasinya. Lebih awal dibantu, lebih baik.
  • "Disleksia bermakna nampak huruf terbalik." Masalah utamanya ialah memproses bunyi bahasa, bukan penglihatan.
  • "Anak disleksia tak boleh berjaya." Dengan sokongan yang betul, ramai yang berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.

Bagaimana disleksia dikenal pasti?

Sekolah rendah boleh menjalankan saringan disleksia, dan sesetengah sekolah mempunyai kelas khas untuk murid disleksia. Bincang dengan guru kelas atau guru pemulihan. Untuk penilaian penuh, anda juga boleh berjumpa doktor, ahli psikologi pendidikan, atau persatuan disleksia.

Cara membantu anak di rumah

  • Gunakan kaedah multisensori. Tulis huruf di atas pasir, bentuk huruf dengan plastisin, dan sebut bunyinya sambil menulis.
  • Ajar suku kata secara berstruktur, sedikit demi sedikit, dan ulang dengan kerap.
  • Bacakan buku untuk anak supaya dia terus suka cerita dan bertambah kosa kata.
  • Beri masa lebih untuk membaca dan menyiapkan kerja rumah.
  • Puji usaha anak. Keyakinan diri sama penting dengan kemahiran membaca.

Tutor kami membimbing anak disleksia secara 1-to-1 dengan cara multisensori dan latihan berulang tanpa tekanan. Ketahui lebih lanjut.

Nota: Artikel ini untuk pengetahuan umum sahaja dan bukan diagnosis.

Komen

Nama pertama anda akan dipaparkan bersama komen.

Anak perlukan bimbingan yang lebih sabar?

WhatsApp kami dan ceritakan tentang anak anda. Kami akan carikan tutor yang sesuai.

WhatsApp kami